Thursday, July 11, 2019

Politik Mahasiswa (Perjuangan Baru Bermula : Keputusan PRKampus)

1. Tarikh 17 Oktober 2018 merupakan tarikh keramat yang ditunggu oleh calon-calon PRK Universiti Malaysia Sabah.

2. Sepanjang tempoh berkempen, para calon telah menggunakan pelbagai sumber seperti media sosial, kaedah "gantung poster", dan juga berkempen secara live.

3. Usaha yang keras sentiasa membawa hasil, di mana calon yang rajin mendekatkan diri mereka dengan mahasiswa sebelum bubarnya barisan kepimpinan mahasiswa yang dahulu amat membantu mereka dalam mendapatkan kepercayaan mahasiswa yang lain.

4. Saya amat berpuas hati dengan keputusan PRK kali ini, dengan adanya wajah-wajah baharu dalam kelompok kepimpinan mahasiswa bercampur dengan individu-individu yang pernah berkhidmat dalam aktiviti mahasiswa.

5. Jika dibandingkan dengan tahun lepas, barisan kepimpinan teratas (Majlis Tertinggi MPP) majoritinya terdiri daripada pemimpin-pemimpin dari kumpulan MERAH. Hal ini disebabkan oleh berlakunya kegiatan cantas-mencantas calon PRK yang BUKAN pro-pentadbiran.

6. Pada kali ini juga, peratusan mahasiswa yang turun mengundi juga tidak memuaskan, dengan jumlah peratusan sebanyak 43.43% (mohon betulkan jika salah) sahaja mahasiswa yang turun mengundi. Perkara ini berlaku atas beberapa faktor, dan salah satu faktor utamanya ialah kegagalan pihak penganjur PRK dalam memberikan markah Student Development Point (MySDP) pada tahun-tahun yang lepas sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mahasiswa. Perkara ini juga telah menyebabkan segelintir golongan mahasiswa untuk MEMBOIKOT PRK kali ini.

7. Selain itu, beberapa buah peristiwa juga telah menjadi pemangkin kepada kemenangan dan juga kekalahan calon-calon yang bertanding. Sebagai contoh, pada jam 1 PM bertempat di salah satu pusat mengundi, sekumpulan mahasiswa telah melancarkan satu demonstrasi awam menuntut agar pihak penganjur menyelesaikan isu-isu yang telah timbul ketika proses pengundian seperti kewujudan pengundi hantu dan juga ketiadaan informasi pelajar di dalam sistem daftar mengundi.
7.1 Sudah tentu peristiwa seperti ini meninggalkan pelbagai persepsi tentang calon-calon PRK yang mewakili kumpulan tersebut, sama ada negatif mahupun positif.

8. Namun begitu, keputusan PRK pada sesi kali ini memperlihatkan bahawa kampus kita sedang berusaha untuk mengaplikasikan konsep demokrasi dalam kepimpinan mahasiswa secara hati-hati. Persoalannya, mengapa mereka perlu berbuat demikian? Adakah pihak atasan masih tidak mempercayai kebolehan mahasiswa dalam menerajui kepimpinan mahasiswa? Tepuk dada tanya selera.

9. Dengan itu, bersama-samalah kita mengambil ikhtibar daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang tempoh Pilihan Raya Kampus ini. Walaubagaimanapun, coretan saya berkenaan tentang dunia Politik Mahasiswa ini tidak berakhir di sini sahaja. Politik berlaku di mana-mana sahaja jikalau ia melibatkan bidang pengurusan dan pentadbiran.


Dengan itu, saya akhiri penulisan saya pada malam ini.
Sekian, Terima Kasih.

RAGER,
Perintis Sejarahwan.

No comments:

Post a Comment